Sudah menjadi kelaziman hidangan pemanis mulut disajikan dengan hirisan kek yang konvensional dan kemudiannya diletak ke dalam piring buat juadah kepada si tetamu yang hadir ke rumah.
Inginkan kelainan dalam hidangan kek yang disajikan?Apa kata anda membuat olahan pada kek yang dibakar dengan menjadikan ianya kepada kek pop?
Kek pop atau dikenali dengan nama 'truffles' merupakan kek yang dipotong atau dihancurkan dan kemudiannya dibulatkan sehingga menjadi bebola.
Dipetik dari Dapurmamasya, jika anda mempunyai lebihan kek yang tidak digunakan, jangan membazir dengan membiarkannya begitu sahaja.
Tahukah anda kek coklat 'moist' yang mempunyai berat sebanyak 300 gram mampu menghasilkan 20 biji kek pop dalam satu masa?
Caranya mudah sahaja, hancurkan kek tersebut dengan tangan dan kemudiannya campurkan dengan jem apricot atau strawberi mengikut citarasa anda.
Selepas itu, gaul adunan tersebut dengan sebati dan bulatkan semua adunan tersebut sehingga menjadi bebola kecil.
Gunakan kreativiti anda untuk menyalutkan bebola tersebut dengan coklat yang telah dicairkan mahupun gunakan sahaja 'chocolate rice' yang sedia ada.
Sebagai hiasan, anda juga boleh menggunakan kon ais krim, lidi gula-gula mahupun pembalut biasa.
Dah siap, senang sahaja bukan?
Selamat mencuba!